Mesti anda pernah dengar kan desas-desus berkenaan Facebook yang dikatakan akan ditutup pada 15 Mac 2011?
Haa. Gelabah lah anda nak cari pengganti kekosongan masa lapang anda yang sebelum ini banyak dihabiskan bersama Facebook. Ada yang buat backup gambar masing di Facebook, ada juga yang dah bersedia dengan akaun Twitter. Tidak kurang pula yang hanya memerhati gelagat rakan-rakan mereka yang risau tentang penutupan Facebook yang boleh dikatakan nadi utama masyarakat Malaysia pada ketika ini.
Sejak akhir-akhir ini, Facebook menjadi satu medium sosial yang merebak seperti epidemik yang tiada antidot. Jika seseorang itu tiada akaun Facebook, maka mereka dianggap kolot dan tidak mengikuti perkembangan semasa. Melihat sejarah penubuhan Facebook oleh Mark Elliot Zuckerberg pada awal tahun 2004 satu ketika dahulu, laman Facebook hanya satu laman untuk merapatkan hubungan antara pelajar di Harvard University (tempat Mark belajar). Bermula dengan alamat http://thefacebook.com, Mark, pelajar tahun dua Harvard University, telah mencipta fenomena. Dalam beberapa bulan sahaja, Facebook mula mendapat tempat di universiti lain sekitar Harvard. Akhir tahun berikutnya, Facebook mula dibuka kepada pelajar sekolah tinggi (high school) di sana. Menjelang tahun seterusnya, Facebook secara rasmi dibuka kepada umum melalui internet.
Berkenaan isu penutupan Facebook pula, ia mula disebarkan oleh medium internet Weekly World News (http://weeklyworldnews.com). Menurut WWN, Mark akan menutup operasi Facebook sepenuhnya kerana mengendalikan laman Facebook penuh dengan tekanan. Facebook juga akan ditutup kerana telah mengganggu kehidupan Mark. Berita yang disiarkan oleh WWN telah mengejutkan pelbagai pihak dan mendapat perhatian media-media berita ternama termasuk CNN. Khabar angin ini ternyata membawa satu kejutan bagi masyarakat dunia yang banyak menghabiskan masa lapang dengan Facebook. Siapa yang tidak terkejut kerana Facebook sebelum ini dilihat tiada masalah bahkan sentiasa menarik pengguna baru untuk mendaftar. Kebanyakan antara kita juga hairan kenapa Facebook yang mempunyai pelaburan melebihi 50 billion dolar, akan ditutup semudah itu. Ramai yang tertanya-tanya berkenaan kebenaran berita ini. Justeru itu, saya merasa terpanggil untuk menjelaskan isu penutupan Facebook ini berdasarkan sedikit carian yang dibuat.
Seperti yang saya katakan diatas, berita penutupan Facebook telah disebarkan oleh WWN. Berdasarkan carian yang dibuat, WWN adalah satu medium berita hoax yang yang amat terkenal di Amerika Syarikat pada akhir tahun 70-an. Ia merupakan medium berita bercetak yang memuatkan berita-berita pelik dan tak masuk akal. Sebenarnya, berita yang disiarkan hanyalah rekaan semata-mata dan untuk hiburan. Ini bermakna, berita yang disiarkan oleh WWN pada ketika itu tidak benar sama sekali. Antara tajuk-tajuk berita depan yang popular ialah Blind Man Regains Sight And Dumps Ugly Wife, Jimmy Hoffa found - in Elvis's Grave!, Space Alien Backs Bush For President dan Elvis Is Alive and Living In Kalamazoo!. Tajuk berita terakhir adalah yang paling popular dengan 1.2 juta salinan WWN dijual. Namun setelah 20 tahun wujud menyebarkan berita palsu, WWN akhirnya hilang bisa. Pada tahun 2007, WWN telah ditutup secara rasmi. Namun kerinduan rakyat Amerika terhadap WWN terubat dengan kewujudan semula WWN tapi bukan dalam bentuk cetakan, ia diterbitkan dalam bentuk laman web. Sehingga sekarang, laman web WWN masih mengekalkan tradisinya untuk menyebarkan berita palsu sebagai hiburan. Baru-baru ini, WWN sekali lagi mencetuskan debatan hangat dengan menyiarkan berita bertajuk Facebook Will End On March 15th (http://weeklyworldnews.com/headlines/27321/facebook-will-end-on-march-15th/). Berita tersebut mencetuskan perdebatan masyarakat dunia yang tidak mengetahui sejarah penubuhan WWN. Mereka mengganggap berita tersebut adalah benar dan menimbulkan kerisauan. Kepada anda yang membaca artikel saya ini, pasti mengetahui asal-usul dan tujuan WWN diwujudkan. Jadi, mengapa harus bimbang lagi? Facebook tak akan ditutup oleh Mark.
Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan pengumuman rasmi pengasas Facebook, Mark di laman Facebook beliau berbunyi:
"We didn't get the memo about shutting down, so we'll keep working away like always. We aren't going anywhere; we're just getting started"Pengumuman rasmi tersebut juga disiarkan oleh agensi berita AFP (http://news.yahoo.com/s/afp/20110110/tc_afp/usitcompanyinternetfacebook). Berdasarkan pengumuman yang dibuat, Mark telah menafikan berita tentang penutupan Facebook yang kini menjadi sumber rezekinya.
Diharap penjelasan ringkas saya mampu melenyapkan kegusaran yang bermain di pemikiran berkenaan berita Facebook akan ditutup. Semoga penjelasan saya memberi manfaat kepada anda dan yang lain. Akhir kata, berpada-padalah menggunakan Facebook agar tak mengabaikan pelajaran, keluarga dan agama




0 comments:
Post a Comment